Rajawalibaruna.com | ANTARA ciri asas sebuah Kerajaan Islam ialah pelaksanaan syariat sebagai Undang-undang Negara dalam semua aspek kehidupan. Pelaksanaan syariat ini menunjukkan ketundukan pemerintah Islam terhadap keagungan Kerajaan ALLAH SWT yang menurunkan syariat kepada manusia.
Dalam konteks Alam Melayu, kewujudan Kerajaan Islam sejak 840M telah menyaksikan komitmen para pemerintah untuk melaksanakan Undang-undang Syariat, dan terbukti di Perlak dan juga Samudera-Pasai bahawa ia telah diberlakukan. Sama ada mempunyai sistem pelaksanaan syariat yang tersusun atau sebaliknya, ia menjadi persoalan kedua, sedangkan yang lebih pokok adalah pemberlakuanhukum itu sendiri. Inilah perkara yang menjadi sumber kekuatan kepada Kerajaan Islam Samudera-Pasai yang dicatatkan mempunyai komitmen yang tinggi dalam melaksanakan hukum syariat kepada semua lapisan rakyatnya.
Dalam mengukur pelaksanaan ini, kita dapat melihat dari tiga aspek, pertama, pemberlakuanhukum itu sendiri yakni ia telah dipraktiskan dalam kehidupan bernegara. Catatan Ibnu Batutah telah menjawab persoalan ini, walaupun ia hanya mewakili sejumlah kecil dari zaman Samudera-Pasai.
Kedua, kewujudan institusi-institusi hukum syariat seperti badan kehakiman, pelaksana undang-undang dan jawatan-jawatan yang menjadi lembaga agama. Kewujudan jawatan Qadhi, Mufti dan Majlis Fatwa adalah menunjukkan institusi tersebut telah berdiri. Dan ketiga, penggubalan undang-undang yang menjadi sumber rujukan pelaksanaan, apakah ia berbentuk teks undang-undang atau kitab-kitab fekah mazhab atau mengikut ijtihad para ulamak semasa. Ketiga-tiga aspek ini boleh membuktikan mengenai kewujudan, kuat kuasa dan pelaksanaan syariat yang berlaku dalam Kerajaan Samudera-Pasai.
Pelaksanaan Syariat: Catatan Ibnu Batutah
Sebahagian besar maklumat mengenai pelaksanaan syariat dan penerapan hukum Islam dalam Kerajaan Samudera-Pasai adalah berdasarkan catatan Ibnu Batutah (1304-1369M), iaitu seorang pengembara Maghribi dalam bukunya, Tuhfat an-Nuzzar fi Gharaiib al-Amsyar wa Aghaib al-Asfar atau lebih dikenali sebagai ar-Rihlah Ibnu Batutah, yang disusun oleh Ibn al-Juzzay al-Kalbi atas perintah Sultan Abu al-Inan (1348-1358M), Sultan Marinid di Maghribi. Ibnu Batutah asalnya seorang Qadhi bermazhab Maliki di Maldiv telah melawat Samudera-Pasai pada 1345M. Catatan ini dianggap sangat penting, kerana beliau sendiri sebagai Qadhi adalah seorang yang sangat memahami hukum Islam.
Sebelum mengembara selama 30 tahun. Beliau berada di Samudera dan tinggal dengan Sultan Mahmud Malik az-Zahir II (1330-1349M) selama 15 hari, setelah meninggalkan India 25 hari sebelumnya, dan kemudiannya ke China.
Menurut Ibnu Batutah, kedatangan beliau disambut oleh Bohruz, iaitu wakil Laksamana, sebelum diraikan oleh para pembesar iaitu Amir Dalwasah, Qadhi Amir Sayyid al-Syirazi dan Faqih Tajuddin al-Esfahani (Mufti) bersama beberapa fuqaha’ lain. Setelah itu, beliau mengadap Sultan Mahmud Malik az-Zahir II dan tinggal di Samudera-Pasai selama dua minggu. Beliau menyifatkan Sultan Samudera-Pasai itu sebagai Raja yang terkenal, paling dermawan dan bermazhab Syafie.
Baginda mencintai para ulamak yang membaca al-Quran dalam majlis-majlisnya dan mengadakan pengajian. Baginda selalu berperang dan berjihad terhadap orang kafir, sedangkan hidupnya sederhana termasuk sanggup berjalan kaki ke masjid. Baginda suka belajar agama dan menguasai (alim) Mazhab Syafie. Penduduk Samudera-Pasai juga bermazhab Syafie dan suka berperang bersama Raja, sehingga orang kafir membayar Jizyah.
Catatan ini memberikan maklumat bahawa:
● Samudera-Pasai adalah bermazhab Syafie termasuk Raja dan rakyatnya;
● Adanya peranan para ulamak dan fuqaha’ dalam pentadbiran negara;
● Lembaga agama telah wujud dengan jawatan Qadhi, Mufti dan Majlis Fuqaha’;
● Jihad dan perang adalah mekanisme untuk menghadapi negara-negara kafir yang menolak Islam;
● Sistem Jizyah telah dilaksanakan ke atas negara kafir yang kalah dan berdamai, sehingga mewujudkan kelompok Zimmi;
● Wujudnya Negara Islam (Darul Islam), Negara Kafir (Darul Harbi) dan Negara Berdamai (Darul Suluh);
● Sultan Samudera-Pasai adalah seorang alim dan mencintai ulamak dan majlis ilmu.
Pengukuhan institusi-institusi syariat
Mewarisi Sistem Kesultanan dari Perlak merupakan pengekalan institusi syariat yang paling tinggi dalam Islam. Ini kerana sejak zaman Kesultanan Saljuk (1040-1129M), para ulamak mengakui Institusi Sultan adalah sah selagi tidak terpisah daripada Khalifah. Nizamul Muluk (m. 1085M), Wazir Saljuk yang terkenal mengakui hal ini dalam bukunya, Siyasat al-Muluk, sebelum diakui juga oleh Imam al-Juwaini (m. 1092M) dan Imam al-Ghazali (1111M). Sultan dianggap mewakili Khalifah dalam mentadbir umat Islam. Semua pemerintah Samudera-Pasai memakai gelaran Sultan, selain gelaran kebesaran seperti Malik as-Saleh dan Malik az-Zahir.
(Red)
Dikutip Dari Grup Facebook Atjeh Darussalam

